Harga Minyak turun lagi 15 sen

Tahniah kepada kerajaan Malaysia yang semakin prihatin kepada rakyatnya. Harga runcit untuk petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen seliter kepada RM2.00 seliter daripada RM2.15 seliter mulai tengah malam ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak berkata ini merupakan penurunan yang kelima sejak bulan Ogos. Beliau berharap para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak, supaya orang ramai mendapat manfaat yang sepenuhnya. Selain itu, Najib juga berkata para pengguna juga diharapkan akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harga telah turun.

Minggu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Abdul Samad menyatakan tentang harga minyak yang dijangka turun pada pertengahan bulan ini. Ini berikutan harga purata minyak yang berada di paras AS$70 setong pada masa ini.

Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20. Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

-Sumber: Harakahdaily.net-

0 KOMEN: