Manchester United dalam Dilemma


Jika diimbas kembali, Manchester United pernah melalui situasi getir sebelum muncul juara Liga Perdana England. Hakikatnya, pada perlawanan kesepuluh liga bagi musim 1996/97, United terpaksa akur dengan kekalahan 0-5 kepada Newcastle United.

United terus tersentak apabila mengalami dua kekalahan berturut-turut selepas dibelasah Newcastle. Tewas 3-6 kepada Southampton sebelum dimalukan Chelsea dengan kekalahan 1-2, peluang United untuk merangkul gelaran liga dilihat semakin sukar.

Namun, pada penghujung musim berkenaan, United tetap unggul apabila muncul juara liga dengan mengumpul 75 mata, sekali gus mengetepikan Newcastle di tangga kedua dengan 68 mata. Ketika itu, United dibarisi bintang- bintang seperti Eric Cantona, Denis Irwin, David Beckham, Jordi Cruyff, Ole Gunnar Solskjaer, Nicky Butt, Karel Poborsky, Ryan Giggs dan Paul Scholes.

Kini, selepas 13 tahun berlalu, United menghadapi situasi yang hampir sama di mana mereka tewas dua perlawanan berturut-turut, dibelasah Liverpool 4-1 dan tewas 0-2 kepada Fulham, Sabtu lalu. Ia merupakan kali pertama United tewas dua perlawanan berturut-turut pada saingan liga dalam tempoh empat tahun terakhir ini.

Dalam pada itu, usaha United untuk bangkit pada perlawanan menentang Aston Villa, 5 April depan sedikit terjejas apabila Wayne Rooney tidak dapat diturunkan akibat digantung satu perlawanan. Bagaimanapun, Rooney terlepas hukuman lebih berat daripada Persatuan Bola Sepak (FA) England ekoran kad merah yang diterimanya ketika bertemu Fulham.

0 KOMEN: